TAWAU: Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan menggunakan dokumen palsu, untuk mendapatkan tawaran sebut harga bagi kerja-kerja pembaikan serta penyelenggaraan melibatkan dua sekolah di Tawau pada 2020.

Jumadil Iggoh, 61, membuat pengakuan itu selepas enam pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya.

Tiga pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu penyata akaun bank bertarikh 13 Julai 2020 bagi bulan April, Mei serta Jun, untuk menipu mendapatkan tawaran sebut harga kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kuarters serta rumah guru Sekolah Kebangsaan Andrassy, Tawau.

Manakala tiga pertuduhan lagi, lelaki itu didakwa menggunakan penyata akaun bank bertarikh 14 Okt 2020 bagi bulan Jun, Julai serta Ogos, untuk menipu bagi mendapatkan sebut harga kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan II, Tawau di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Tahun 2020.

Kesalahan itu masing-masing didakwa dilakukan pada 14 Julai 2020 serta 14 Okt 2020 di Pejabat Pendidikan Daerah Tawau.

Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun yang sama, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Hakim Jason Juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan, selain syarat tambahan perlu melapor diri ke Pejabat SPRM setiap dua bulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah, di samping tidak mengganggu saksi kes.

Beliau turut menetapkan 26 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rekraj Singh dan tertuduh diwakili peguam Abdul Ghani Zelika.