KUALA LUMPUR: Para pemimpin dunia dan masyarakat antarabangsa mengecam operasi ketenteraan besar-besaran Israel ke atas Iran pada Jumaat, sambil menggesa semua pihak menahan diri bagi mengelakkan ketegangan selanjutnya dan ketidakstabilan serantau.

Menurut laporan media Iran, Israel melancarkan serangan ke atas Iran sekitar pukul 3 pagi waktu tempatan, menyasarkan kemudahan ketenteraan dan nuklear serta kawasan kediaman.

Beberapa pegawai kanan tentera termasuk Panglima Tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Mejar Jeneral Hossein Salami, serta beberapa ahli sains dilaporkan terbunuh dalam serangan di Tehran.

Peningkatan ketegangan ini mencetuskan gesaan mendesak daripada kuasa besar dunia, pihak berkepentingan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengekang konflik daripada merebak di Timur Tengah.

Perdana Menteri Britain Keir Starmer menggesa semua pihak agar segera meredakan ketegangan, menyifatkan laporan mengenai serangan Israel itu membimbangkan.

“Sekarang adalah masa untuk bertenang, menahan diri dan kembali ke meja diplomasi,” katanya menerusi akaun X pada Jumaat.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengecam keras serangan itu, termasuk serangan khusus yang mengorbankan pemimpin kanan Iran, dan menyifatkannya sebagai tindakan serius dan semberono yang boleh mengancam kestabilan rantau yang sudah rapuh.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa tidak harus membiarkan sebarang tindakan yang mensabotaj diplomasi dan mengancam keamanan global.

“Matlamat jelasnya ialah mensabotaj rundingan yang sedang berlangsung antara Amerika Syarikat dan Iran. Ia juga berlaku ketika tindakan Israel di Gaza diteliti semula dan peningkatan tekanan politik ke atas (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu,” tulis beliau.

Sementara itu, Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Iran dan menggesa semua pihak untuk menahan diri demi mengelakkan peningkatan ketegangan di Timur Tengah.

Jurucakap Kementerian Luar, Rolliansyah Soemirat menyifatkan serangan itu satu pelanggaran undang-undang dan melemahkan asas-asas perundangan antarabangsa.

“Serangan berkenaan berisiko memburukkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau itu. Semua pihak perlu mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketidakstabilan selanjutnya,” kata Rolliansyah dalam satu kenyataan.

Singapura menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di Timur Tengah dan menggesa semua pihak untuk menahan diri dan meredakan ketegangan itu.

Seorang jurucakap daripada Kementerian Luar Singapura (MFA) berkata berikutan keadaan keselamatan yang tidak menentu, warga Singapura dinasihatkan supaya menangguhkan semua perjalanan mereka ke Israel dan Iran.

Jurucakap MFA itu berkata dalam kenyataan itu bahawa warga Singapura di kedua-dua negara dinasihatkan supaya berlindung di tempat selamat, memantau berita terkini dan mengikuti arahan pihak berkuasa tempatan.

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dalam hantarannya di platform X turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan tanpa provokasi Israel terhadap Iran, menyifatkannya sebagai tindakan berbahaya dan tidak bertanggungjawab yang boleh memburukkan lagi keadaan rantau itu yang tidak stabil.

Beliau menyeru masyarakat antarabangsa dan PBB segera bertindak bagi menghalang peningkatan ketegangan yang boleh menjejaskan keamanan serantau dan global.

Turkiye turut mengecam serangan udara Israel dan menyifatkannya sebagai pelanggaran nyata undang-undang antarabangsa serta satu provokasi yang memperlihatkan dasar Israel untuk menjadikan rantau itu secara strategik tidak stabil .

Kementerian Luar Turkiye menyatakan pemasaan serangan itu - ketika rundingan berkaitan program nuklear Iran sedang giat dijalankan - membuktikan Kerajaan Netanyahu tidak berminat kepada penyelesaian diplomatik dan sanggup menjejaskan kestabilan serantau dan keamanan sejagat untuk kepentingan sendiri.

Arab Saudi pula mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel terhadap Iran yang menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara itu, serta merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang dan norma antarabangsa.

“Kerajaan Arab Saudi menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) memikul tanggungjawab besar untuk segera menghentikan serangan ini,” menurut kenyataan Kementerian Luar negara itu.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengecam sebarang peningkatan ketenteraan di Timur Tengah dan menyuarakan kebimbangan khusus terhadap serangan ke atas kemudahan nuklear Iran yang berlaku ketika rundingan bersama AS sedang berlangsung, menurut Timbalan Jurucakapnya Farhan Haq, lapor Xinhua.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut mengecam serangan tentera Israel ke atas Iran dan menyuarakan kebimbangan serius terhadap implikasi konflik itu terhadap keselamatan dan kestabilan serantau.

Kementerian Luar UAE menekankan kepentingan menahan diri dan membuat keputusan yang waras bagi mengelak konflik daripada terus merebak serta menegaskan keutamaan untuk menggalakkan dialog, mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghormati kedaulatan negara yang merupakan prinsip utama bagi menyelesaikan krisis semasa ini, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

Presiden Lubnan Joseph Aoun berkata serangan itu bukan sahaja menyasarkan rakyat Iran tetapi turut menggugat usaha antarabangsa mengekalkan kestabilan rantau itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam dalam hantarannya di X turut mengecam serangan itu, menyifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa dan kedaulatan Iran dan natijahnya yang mengancam keamanan serantau dan global.

Jepun menerusi Menteri Luar Takeshi Iwaya menyatakan bahawa tindakan Israel yang mengeruhkan lagi keadaan amat dikesali, biarpun rundingan antara Washington dan Tehran masih berlangsung ke arah penyelesaian secara aman dan menuntut negara terlibat supaya menahan diri .

Australia dan New Zealand turut melahirkan kebimbangan serius terhadap ketegangan yang semakin memuncak antarqa Israel dan Iran berikutan serangan itu.

Menteri Luar Australia Penny Wong menggesa semua pihak mengelak sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menjejaskan kestabilan, lapor ABC.

Menteri Luar New Zealand Winston Peters dalam hantarannya di X memberi amaran bahawa sebarang tindakan balas boleh meningkatkan risiko tercetusnya perang serantau dengan akibat yang amat buruk.

Beliau menekankan keperluan untuk mengendurkan ketegangan dan berkata rundingan yang masih berjalan antara AS dan Iran kekal sebagai pendekatan terbaik untuk keselamatan serantau.

Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Mark Rutte menegaskan keperluan segera bagi usaha diplomatik untuk meredakan ketegangan di Timur Tengah dan menyatakan sekutu NATO termasuk AS , supaya bertindak segera.

Beliau menyangkal kebimbangan mengenai peningkatan ketegangan berkenaan nuklear dan berkata:”Tidak, kita tidak menghampirinya” sambil menambah sekutu NATO sedang berusaha mengekang konflik itu secara aktif.