KUALA TERENGGANU: Para pemimpin dan ketua cawangan UMNO digesa untuk terus memainkan peranan dalam memberikan penerangan kepada ahli akar umbi mengenai kepentingan penyertaan parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa walaupun kerjasama itu semakin difahami, masih terdapat segelintir ahli yang keliru dan bersikap menjauhkan diri.
“Dalam landskap politik hari ini, selepas kekalahan Barisan Nasional pada PRU14, tiada satu parti pun yang dominan. UMNO sendiri tidak pernah bertanding secara bersendirian, malah sentiasa bergerak dalam gabungan politik,“ katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan menekankan bahawa UMNO tetap berpegang pada prinsip perjuangan mempertahankan kedudukan orang Melayu dan institusi raja.
“Sebelum menyertai Kerajaan Perpaduan, UMNO telah meletakkan syarat agar kepimpinan Melayu diterima sebagai asas kerjasama. Yang berubah hanyalah strategi, bukan prinsip perjuangan,“ jelasnya.
Mohamed Khaled turut mengingatkan ahli agar tidak terpengaruh dengan fitnah yang bertujuan melemahkan semangat parti. - Bernama