LYON: Penambahan peruntukan dalam Belanjawan 2025 serta kerjasama erat pemain industri dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperlukan bagi melahirkan lebih banyak belia berkemahiran tinggi di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif GreenControls Technology Peng Wah Siew berkata bidang TVET di Malaysia semakin berkembang dan banyak belia mahir telah berjaya dilahirkan.

“Saya juga pilih pekerja yang ada kemahiran berbanding akademik kerana mereka laksana kerja dengan lebih bagus.

“Cadangan saya adalah kena ada kerjasama (institusi TVET) dengan industri supaya belia dapat kemahiran asas yang industri perlukan ketika ini dan tambahan peruntukan kerajaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada pertandingan WorldSkills (WSC 2024).

GreenControls merupakan syarikat tunggal daripada Malaysia yang menaja produk dalam kategori kemahiran Electric Installation pada WSC 2024.

Pemilik Khal Hair Salon, Khaljaksa Khalil berkata beliau berharap kerajaan dan pihak industri dapat membantu menyalurkan peruntukan dan ruang mendapatkan pengalaman luas untuk belia dalam bidang TVET.

Pakar negara dalam bidang dandanan rambut di WSC 2024 itu berkata penglibatan industri perlu dipertingkat supaya belia dapat mengetahui senario sebenar dunia pekerjaan.

“Saya harap kerajaan dapat memberi peruntukan secukupnya kerana sebagai contoh, bidang dandanan rambut ini memerlukan bajet besar kerana peralatannya mahal,” katanya yang mempunyai pengalaman 37 tahun dalam industri.

Semalam, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata kementeriannya menumpukan agenda memperkasakan institusi TVET di bawah kementerian itu menerusi Belanjawan 2025.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Okt ini bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’.