KOTA TINGGI: Halia Bentong berpotensi diangkat sebagai tanaman strategik negara dengan menjadikan Kota Tinggi sebagai hab pengeluaran dan pemprosesan utama, kata Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata usaha itu bukan sahaja mampu menjana pendapatan rakyat secara mampan, tetapi juga membantu menjamin bekalan halia tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada import yang kini mencecah 80 peratus.
“Kita (Malaysia) import halia lebih kurang 80 peratus untuk kegunaan negara, bermakna dari segi jaminan bekalan itu kita perlu lihat supaya kita boleh tanam dan dapatkan sumber halia dari dalam negara kita sendiri.
“Maka usaha ini bukan sahaja memberi peluang (ekonomi) kepada rakyat, tetapi juga membantu soal pengaliran wang keluar dari negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian tuaian halia Bentong muda di Kampung Gembut, Tanjung Sedili hari ini.
Beliau berkata program penanaman halia dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan masyarakat setempat itu bertujuan memperkasakan ekonomi komuniti luar bandar melalui pertanian bernilai tinggi sekali gus, mengangkat Kota Tinggi menjadi lembah makanan negara.
Mohamed Khaled berkata inisiatif tanaman halia Bentong di kawasan itu telah menunjukkan hasil memberangsangkan dengan pulangan tinggi dalam tempoh masa singkat, menjadikan tanaman itu antara tanaman kontan paling berdaya maju.
“Untuk harga pasaran, satu kilogram harganya mencecah RM40, satu pokok boleh menghasilkan dua kilo. Tadi (semasa program) kita lihat ada 300 pokok dan penuaiannya setiap enam bulan. Maka, kalau ada 300 pokok, peserta program ini boleh dapat RM24,000 bagi tempoh enam bulan.
“Ini bermakna mereka mampu menjana RM4,000 sebulan. Proses penanaman dan penjagaannya juga sangat mudah dengan panduan yang diberikan oleh pihak universiti. Halia ini jika dijual tua, harganya boleh mencecah RM60 sekilogram,” katanya.
Beliau berkata melalui pembentukan koperasi dan penyertaan dalam industri hiliran, peserta juga boleh memperoleh pendapatan tambahan daripada pemprosesan produk berasaskan halia tersebut seperti serbuk dan ubat-ubatan.
Mohamed Khaled berkata beliau turut mempunyai rancangan jangka panjang untuk menjadikan Kota Tinggi sebagai pusat utama industri halia negara meliputi aspek penanaman, rantaian nilai dan produk hiliran.
Justeru beliau menyeru masyarakat tidak bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata, sebaliknya bersedia menyertai projek pertanian secara aktif demi menjamin kelestarian dan keberhasilan jangka panjang.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi Timur Hashim Muhammad berkata kejayaan projek penanaman halia Bentong itu mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan, menjana pendapatan tambahan kepada petani dan mengangkat martabat komuniti luar bandar.
Beliau berkata usaha dan kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti petani setempat menjadi tunjang kepada kejayaan projek terbabit dan berharap penanaman berkenaan diperluas di seluruh kawasan Parlimen Kota Tinggi ini.