• 2025-07-05 06:37 PM

SHAH ALAM: Polis sedang menyiasat kes penyebaran video seks melibatkan seorang penceramah bebas. Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim, mengesahkan siasatan itu susulan laporan diterima daripada isteri kedua suspek pada 16 Jun lepas.

Menurut kenyataan polis, wanita itu mendakwa suaminya menyebarkan video seks dirinya bersama madu serta beberapa wanita lain. “Pihak polis telah menahan suspek dan merampas dua telefon bimbit serta sebuah komputer riba miliknya,“ kata Mohd Iqbal.

Semakan peranti milik suspek menemui beberapa video dan gambar tidak senonoh bersama isteri-isterinya serta wanita lain. Suspek direman empat hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.

Kes ini disiasat bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi, dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Mira Noraien Norashid, di talian 011-11430765.