• 2025-06-24 06:00 PM

SEPANG: Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan beberapa penerbangan Malaysia ke Timur Tengah dibatalkan ekoran serangan ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat di Qatar awal pagi tadi.

Beliau berkata Notis kepada Juruterbang (NOTAM) telah dikeluarkan bagi memastikan keselamatan penerbangan di rantau berkenaan.

“NOTAM dikeluarkan kerana konflik perang. Sudah tentu ada risiko kepada penerbangan,“ katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Loke menegaskan semua syarikat penerbangan diarah mengambil langkah mitigasi bagi memastikan keselamatan penumpang tidak terjejas. Antara langkah termasuk menyediakan penginapan sementara menunggu ruang udara dibuka semula.

Beliau turut menjelaskan situasi ini memberi kesan kepada penerbangan ke Eropah kerana laluan alternatif terpaksa digunakan.

“Banyak syarikat kini menggunakan laluan utara seperti Afghanistan,“ katanya.

Serangan Iran ke atas Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar pada Isnin lalu mencetuskan penutupan ruang udara sementara di beberapa negara Timur Tengah.

Namun, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah membuka semula ruang udara mereka.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), operasi penerbangan ke Timur Tengah disambung semula.

Tiada pembatalan baharu dilaporkan setakat 4 petang, tetapi berlaku kelewatan bagi penerbangan Qatar Airways ke Doha.

Dua penerbangan Malaysia Airlines ke Doha, MH164 dan MH160R, dibatalkan awal pagi tadi dipercayai akibat penutupan ruang udara.