• 2025-06-24 10:29 PM

KUALA LUMPUR: Polis berjaya mematahkan satu rangkaian pengedaran dadah jenis ganja dengan menahan tiga lelaki dalam operasi berasingan di Sungai Buloh dan Bukit Beruntung, Selangor, pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 28 hingga 42 tahun itu aktif menjalankan kegiatan haram di kawasan Sungai Buloh dan Hulu Selangor.

“Seorang daripada mereka ditahan di Kampung Baru Subang, Sungai Buloh. Hasil siasatan, polis kemudian menahan dua lagi individu di Bukit Beruntung,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mendedahkan bahawa nilai dadah yang dirampas dianggarkan antara RM30,000 hingga RM40,000 di pasaran gelap.

Rangkaian tersebut dikatakan memperoleh bekalan ganja dari negara jiran sebelum diedarkan di Lembah Klang melalui syarikat kurier tempatan.

Selain ganja seberat 1,006.5 gram, polis turut merampas heroin (40.93 gram), pil yaba (57.56 gram), pil ekstasi (3.32 gram), dan syabu (0.82 gram).

Ketiga-tiga suspek direman selama lima hingga tujuh hari bermula 20 hingga 26 Jun ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.