Pakar perlembagaan Shad Saleem tegaskan pengampunan penuh 2018 hapuskan semua hilang kelayakan Anwar ikut Perlembagaan.

  • 2025-08-16 05:09 PM

KUALA LUMPUR: Pengampunan diraja yang diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 memulihkan sepenuhnya kelayakannya untuk bertanding pilihan raya dan memegang jawatan Perdana Menteri, kata pakar perlembagaan Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

Beliau menjelaskan bahawa pengampunan di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan menghapuskan mana-mana sabitan jenayah, di bawah undang-undang.

“Sebaik sahaja terdapat pengampunan penuh di bawah Perkara 42(1), semua hilang kelayakan di bawah Perkara 48(1) terbatal. Tidak wujud keperluan bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan perintah kedua bagi mengangkat hilang kelayakan tersebut,” katanya dalam artikel pendapat yang diterbitkan Bernama.

Shad Saleem menjawab dakwaan terkini beberapa pemimpin pembangkang yang mempertikaikan kelayakan Anwar untuk bertanding dalam pilihan raya di bawah Perkara 48(1)(e) dan 48(3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menekankan bahawa pengampunan penuh bukan sahaja membebaskan seseorang daripada menjalani hukuman, malah menghapuskan semua sekatan atau hilang kelayakan undang-undang.

“Ia termasuk sekatan yang sepatutnya menghalang seseorang daripada bertanding atau memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen (MP). Sebaik sahaja terdapat pengampunan penuh, semua hilang kelayakan di bawah Perkara 48(1) akan terbatal.

“Tidak ada keperluan sama sekali bagi Seri Paduka Baginda untuk mengeluarkan perintah kedua di bawah Perkara 48(3),” katanya.

Shad Saleem turut merujuk kepada kes mahkamah di Malaysia dan negara Komanwel lain, termasuk kes Anwar Ibrahim (2018) dan Jeyaratnam lwn AG (1990) di Singapura, yang menunjukkan bahawa pengampunan penuh “menghapuskan sabitan,” memulihkan kedudukan undang-undang sepenuhnya individu berkenaan.

Selain itu, Shad Saleem mencontohkan kes veteran DAP, Lim Kit Siang pada 1969, di mana pengampunan diraja telah memulihkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen selepas digugurkan kerana pelanggaran teknikal oleh ejen pilihannya.

“Jika pandangan ini betul, bahawa pengampunan penuh menghapuskan sabitan daripada rekod, maka perintah penghapusan hilang kelayaka di bawah Perkara 48(3) adalah sama sekali tidak diperlukan,” katanya - BERNAMA