TANGKAK: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di Bukit Gambir dekat sini awal Jun lepas.
Mohamad Khairul Azmi Ithnin, 32, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lee Kim Kiat.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa membunuh Iecah Junus, 34, di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir antara pukul 3.30 petang hingga 5.30 petang pada 2 Jun lepas.
Pendakwaan itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sapian memohon agar tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh kerana kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Amirah turut membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh dihantar ke Hospital Permai bagi menjalankan pemeriksaan.
Majistret kemudiannya membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 8 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mengemukakan laporan patologi, toksiologi dan asid deoksiribonukleik (DNA).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib dalam kenyataan pagi ini memaklumkan tertuduh juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Muar hari ini mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api, membakar sembilan kenderaan di pekarangan rumah mentuanya di Kampung Pengkalan Kampung Durian Chondong dekat sini pada 3 Jun lepas.
Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 4 Jun lepas.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Muar, lelaki berkenaan turut didakwa dengan sembilan pertuduhan membakar sembilan buah kenderaan di Kampung Pengakalan Kota Durian Chondong dan Kebun Durian Kampung Teratai 2, Sagil, Tangkak, antara pukul 4.36 pagi hingga 6.46 pagi pada 3 Jun lepas.
Tertuduh bagaimanapun hanya mengaku bersalah terhadap enam daripada sembilan pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Bagi enam pertuduhan itu, dia didakwa melakukan perbuatan khianat dengan api yang bertujuan merosakkan enam kenderaan iaitu dua Toyota Hilux dan masing-masing satu Toyota Wish dan Perodua Myvi serta dua motosikal Ego Avantis dan Yamaha LC.
Bagi tiga pertuduhan lain, Mohamad Khairul mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan khianat dengan api terhadap sebuah lagi kereta Honda Civic, serta dua motosikal Modenas Kriss dan Honda RS150 di Kampung Pengkalan Kota Durian Chondong, pada tarikh sama.
Kesemua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 9 Julai depan untuk prosiding fakta kes dan hukuman bagi enam pertuduhan yang diakuinya, serta penyerahan dokumen dan pelantikan peguam bagi tiga pertuduhan yang dinafikan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi.