• 2025-08-26 07:54 PM

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Pulau Pinang menahan seorang pengarah jabatan kerajaan kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dengan mengesyorkan syarikat suaminya bagi pembekalan makanan dan minuman untuk sebuah program pada 2017.

Suspek wanita berusia lingkungan 50 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi di Pejabat SPRM Pulau Pinang ketika hadir memberi keterangan.

Berdasarkan siasatan awal, suspek sebelum ini dipercayai telah menyalahgunakan jawatan ketika berkhidmat sebagai pegawai di Seberang Perai Utara.

Suspek dipercayai telah menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan syarikat milik suaminya melibatkan pembekalan makanan serta minuman bernilai hampir empat ribu ringgit.

Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk S. Karunanithy mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata suspek kini direman dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth pada Khamis. – Bernama