• 2025-08-14 01:16 PM

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu melibatkan urusan pembekalan kaki ayam sejuk beku ke China, dua tahun lepas.

R. Gopinatan Pillai, 60, didakwa memperdayakan seorang individu supaya mempercayai tertuduh boleh membekalkan kaki ayam sejuk beku untuk dihantar ke China, sehingga menyebabkan mangsa memasukkan RM273,987.50 ke dalam akaun bank milik syarikat tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit pejabat di Menara Sentral Vista, Jalan Sultan Abdul Samad, di sini pada 5 Julai 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin terhadap Gopinatan yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh atas satu kesalahan lain.

Bagaimanapun, tertuduh memaklumkan peguamnya tidak hadir pada hari ini dan akan membuat rayuan berkenaan jaminan pada tarikh sebutan kes akan datang.

Hakim Hamidah Mohamed Deril menetapkan 2 Sept ini untuk sebutan kes dan rayuan jaminan - BERNAMA