SUNGAI PETANI: Pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya masih dalam peringkat kajian dan belum dimuktamadkan bila ia akan dilaksanakan, kata Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Beliau berkata jawatankuasa yang terlibat dalam proses tersebut telah mengadakan lawatan ke beberapa negara untuk menjalankan kajian empirikal mengenai pengasingan peranan jabatan berkenaan.

“Pasukan daripada Jabatan Peguam Negara pun ada dalam jawatankuasa itu dan mereka sedang menjalankan kajian dan telah melawat beberapa negara... waktu (pelaksanaan) tak pasti,“ katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Santuni MADANI Jabatan Peguam Negara di Program Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu di sini, hari ini.

Oktober tahun lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata agenda pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dilaksana secara berfasa selepas kerajaan mengambil kira kerumitan dan cabaran pelaksanaannya.

Azalina memberitahu Dewan Rakyat bahawa menerusi Fasa Pertama, Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif sedang menjalankan kajian ke atas beberapa negara bagi meneliti dan merangka model yang paling sesuai dalam konteks Malaysia.

Sementara itu Ahmad Terrirudin berkata Program Santuni MADANI yang dilaksanakan hari ini merupakan wadah penyatuan komuniti melalui program kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan di peringkat daerah dan Persatuan Penduduk Setempat PPR Paya Nahu.

“Program ini merupakan cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu semua ketua jabatan atau ketua pengarah untuk pulang ke kampung masing-masing untuk memberikan sumbangan dan mengeratkan silaturahim.

“Pelbagai aktiviti disediakan termasuk Klinik Bantuan Guaman oleh Jabatan Bantuan Guaman, pemeriksaan kesihatan, taklimat oleh Jabatan Penjara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penerangan, SWCorp dan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Beliau berkata program sehari bermula 9 pagi hingga 3 petang itu bertujuan meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan langsung serta perbincangan bagi mengenal pasti masalah sosioekonmi dan keperluan penduduk setempat.