KUALA TERENGGANU: Pengusaha taman asuhan kanak-kanak (Taska) digalakkan untuk menghantar pengasuh di bawah kelolaan mereka untuk menjalani latihan dan kursus bagi meningkatkan kemahiran dalam penjagaan bayi dan kanak-kanak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Noraini Ahmad berkata perkara itu penting dalam memastikan pengasuh berupaya menghadapi cabaran masa kini yang memerlukan pendekatan berbeza dalam pendidikan awal kanak-kanak.

“Kursus-kursus (susulan) ini memang kita galakkan untuk setiap pengasuh meningkatkan kemahiran sebab kita tahu cabaran zaman sekarang berbeza dan pendekatan berbeza harus kita gunakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Hari Taska dan Hari Pengasuh Kebangsaan 2024, di sini hari ini.

Beliau berkata kursus susulan itu penting bagi mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini di taska seperti penderaan, kecuaian dan pengabaian anak-anak asuhan yang sering dilaporkan sejak akhir-akhir ini.

“Situasi ini amat membimbangkan dan menuntut perhatian serta tindakan segera kita semua. Sebagai pendidik dan penjaga, kita mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk masa depan kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, Noraini berkata setakat ini terdapat sebanyak 3,043 taska mendaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menggaji seramai 16,167 pengasuh, dengan bilangan bayi dan kanak-kanak asuhan seramai 70,340.

Beliau berkata kerajaan kini giat mengesan taska yang beroperasi tanpa kelulusan JKM.

“Ada yang cuba mendaftar tetapi belum mendapat kelulusan sebab perlu kebenaran daripada tiga pihak untuk membuka taska iaitu KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), bomba dan jabatan kesihatan,” katanya.