• 2025-07-01 05:28 PM

KANGAR: Penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian di Perlis masih terlalu rendah, menimbulkan kebimbangan terhadap kelestarian sektor itu pada masa depan, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Berdasarkan Banci Pertanian 2024, hanya 399 individu berumur 15 hingga 30 tahun terlibat dalam pertanian daripada 18,839 pekerja sektor itu di negeri ini.

“Ini satu realiti yang perlu kita terima. Memang jumlah golongan muda yang terlibat dalam pertanian sangat rendah berbanding mereka yang berusia,“ katanya.

Beliau menekankan potensi besar sektor ini jika lebih ramai anak muda dilibatkan melalui teknologi seperti automasi dan dron.

Data banci diharap dapat membantu kerajaan negeri merangka dasar dan insentif untuk menarik minat generasi muda.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Perlis Razali Saad berkata sektor pertanian negeri itu mencatat nilai jualan RM584.8 juta pada 2023, dengan tanaman sebagai penyumbang utama (RM276.7 juta).