PUTRAJAYA: Malaysia mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2027 sekiranya ekonomi negara tumbuh empat hingga lima peratus setiap tahun dan ringgit mengukuh sekitar RM4.20 berbanding dolar AS, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata sekiranya sasaran ini dapat dicapai, Malaysia akan dilihat sebagai negara berpotensi yang seterusnya berupaya bangkit kembali menjadi ‘Harimau Asia’.

“Piawaian ini adalah yang lebih mudah (untuk melayakkan Malaysia mendapat status tersebut). Ia juga bergantung kepada kemampuan kita menjadi hab kewangan antarabangsa di samping prestasi Bursa Malaysia yang positif,” kata Rafizi pada sidang media selepas majlis pelancaran Penemuan Banci Ekonomi 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), di sini, hari ini.

Sebelum ini Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata Malaysia sedang berada di landasan untuk mencapai semula status Harimau Asia.

Ini berdasarkan tinjauan positif daripada penganalisis dan agensi penarafan, disokong oleh angka ekonomi negara yang memberangsangkan.

Bagaimanapun Rafizi berkata, prospek untuk Malaysia kembali menjadi Harimau Asia juga perlu berlandaskan kepada ketersediaan negara dalam pelbagai bidang lain termasuk dari segi kemampanan sektor tenaga serta pertumbuhan pusat data.

“Untuk jadi ‘Harimau’ kita perlu tumpu kepada sektor bernilai tinggi seperti penciptaan dan reka bentuk cip.. tetapi kalau tengok kepada banci syarikat, syarikat yang mereka bentuk cip masih lagi boleh dikira dengan jari,” katanya.

Justeru, katanya, kerajaan akan berusaha memastikan dasar dan program bagi tempoh lima tahun akan datang memberi tumpuan kepada sektor seumpama itu kerana sekiranya pertumbuhannya tidak selari dengan perancangan kerajaan, negara akan ketinggalan.

Sementara itu mengulas mengenai laporan Banci Ekonomi 2023, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pada 2022 bilangan pertubuhan di Malaysia meningkat 2.5 peratus dengan nilai output kasar berjumlah RM3.85 trilion.

Sejumlah 951,862 pertubuhan atau 87.2 peratus tertumpu dalam sektor Perkhidmatan diikuti sektor Pembinaan (71,062 pertubuhan atau 6.5 peratus) dan sektor Pembuatan (54,505 pertubuhan atau 5.0 peratus).

Manakala sektor Pertanian dan Perlombongan dan Pengkuarian masing-masing menyumbang 12,998 pertubuhan dan 1,440 pertubuhan.

Pada 2022, nilai output kasar bagi keseluruhan sektor ekonomi berjumlah RM3.85 trilion, meningkat 6.4 peratus setiap tahun.

Mohd Uzir berkata Banci Ekonomi 2023 juga menunjukkan beberapa dapatan penting yang mencerminkan peralihan ekonomi yang dinamik dalam tempoh tujuh tahun.

Menurutnya, ini sejajar dengan prestasi perdagangan barangan Malaysia yang menunjukkan pertumbuhan eksport kukuh sepanjang tempoh tersebut dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 10.4 peratus kepada RM1.55 trilion pada 2022 (2015: RM777.5 bilion).

Banci ekonomi diadakan setiap lima tahun dengan banci terakhir yang dibuat adalah pada 2015. Banci tidak dapat dibuat pada 2020 disebabkan pandemik COVID-19 dan hanya dilakukan pada 2023.