GEORGE TOWN: Seorang pengurus syarikat kesihatan kerugian RM1.3 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS) menerima laporan daripada mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun pada Isnin lepas yang memaklumkan dia diperdaya sindiket terbabit.
“Pada bulan April lepas, mangsa telah melihat iklan pelaburan yang berkonsepkan jual beli saham melalui aplikasi Instagram dan telah berhubung dengan seorang wanita yang disyaki ahli sindiket melalui aplikasi Whatsapp.
“Sindiket telah menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh masa singkat apabila menyertai pelaburan saham tersebut dan mangsa telah memuat turun aplikasi TPG PRO selepas berminat menyertai pelaburan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata lelaki itu membuat 21 transaksi pindahan wang berjumlah RM1.3 juta ke empat akaun berbeza antara 27 April hingga 29 Mei lepas bagi tujuan pelaburan.
Beliau berkata mangsa menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan sebaliknya diminta untuk membuat penambahan modal saham sekiranya mahu mendapatkan keuntungan tersebut.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,“ katanya.