KUALA LUMPUR: Seorang peniaga yang tular dalam video menunjukkan tindakan agresif melibas parang terhadap anggota penguat kuasa semasa operasi meroboh struktur haram di Desa Pandan mengaku tidak bersalah di mahkamah hari ini.
Izat Saini @ Zaini, 43, didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua penjawat awam.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd Aziz.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Inspektor Fitri Farhan Wan Chik dan Koperal Mohd Harris Lingam semasa operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kesalahan itu dikatakan berlaku di simpang tiga Jalan 4/76B, Desa Pandan, pada 11.17 pagi, 15 Julai lepas.
Seksyen 353 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhanah Arul Hisham, manakala peguam Fadhli Sutris mewakili Izat.
Majistret Amira membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Sept ini untuk sebutan semula kes. - Bernama