KUALA LUMPUR: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang pegawai polis dengan melanggarnya menggunakan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), awal bulan ini.

M.M Steven, 30, yang bekerja sendiri, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Inspektor Hazlan Ali Abdul Hamid menggunakan kenderaan jenis Perodua Aruz dengan niat menyebabkan kematian ke atas mangsa di tepi jalan berdekatan Taman Cheras di sini pada 2.45 petang 4 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap tidak menawarkan sebarang jaminan namun peguam Tripatjit Singh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menjaga ibu yang uzur dan tidak berisiko untuk melarikan diri.

Hakim Noridah Adam membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Mei ini untuk sebutan semula kes.