KUANTAN: Seorang peniaga kerugian RM136,700 selepas terperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai sebuah kementerian dan pegawai polis.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 34 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek pada 2 Sept lepas yang menyatakan kononnya terdapat aduan terhadap nombor telefon mangsa kerana terlibat kegiatan ‘scammer’.

Beliau berkata panggilan itu kemudian disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa juga terlibat dengan aktiviti penyeludupan dadah serta penggubahan wang haram.

“Suspek mengarahkan mangsa muat turun aplikasi BNM (Bank Negara Malaysia) bagi tujuan mendaftarkan semua maklumat perbankan dan jumlah wang simpanan mangsa.

“Kemudian mangsa diarahkan untuk memindahkan sebanyak RM136,700 melalui mesin ATM dengan enam pindahan ke dua akaun bank diberikan suspek. Sumber wang kerugian ini ialah wang simpanan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya terhadap individu tidak dikenali dan membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.