CHUKAI: Seorang pesara kerajaan mengalami kerugian RM193,000 apabila menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata ia bermula pada pada 25 Mei lepas apabila wanita berumur 63 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mengaku ejen insurans, dan mendakwa kononnya warga emas tersebut telah membuat tuntutan insurans palsu.
Beliau berkata suspek kemudiannya bertindak menyambungkan panggilan itu kepada seorang lagi suspek yang mengaku sebagai anggota polis.
“Suspek meminta warga emas itu menyerahkan maklumat kad bank serta kata laluan keselamatan akaun bank simpanan untuk tujuan pemeriksaan, dan wang panik itu terus mengikuti arahan suspek kerana bimbang dipenjarakan,“ katanya dalam kenyataan hari ini. Mohd Razi berkata pada 8 Jun lepas wanita itu terkejut apabila mendapati wang simpanannya telah berkurang sebanyak RM193,000, dan selepas diperiksa dia mendapati terdapat 20 transaksi pindahan wang ke empat akaun berbeza yang tidak dikenali mulai 29 Mei hingga 8 Jun lepas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,“ katanya.