MELAKA: Seorang penjawat awam didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM900 pada 2022 dan 2023.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd Rozaiman Rahmat, 45, dan memerintahkan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Mohd Rozaiman yang merupakan pegawai tadbir di Unit Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) ketika itu, didakwa telah menerima suatu barang berharga dengan suatu balasan yang dia ketahui tidak mencukupi iaitu wang berjumlah RM400 daripada Ong Ah Siong melalui akaun Maybank, yang dia akui Ong mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.
Dia yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Unit Kutipan Tunggakan MPAG, juga menghadapi pertuduhan melakukan kesalahan serupa melibatkan wang berjumlah RM500 daripada individu sama.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Alor Gajah pada 31 Mac 2022 dan18 April 2023 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mohd Rozaiman yang kini digantung tugas, turut didakwa atas pertuduhan menerima suatu barang berharga dengan suatu balasan yang dia ketahui tidak mencukupi iaitu wang berjumlah RM2,000 daripada individu sama pada 6 Sept 2022.
Bagaimanapun pihak pendakwaan memohon pertuduhan itu digugurkan selepas mengambil pertimbangan terhadap dua pertuduhan yang Mohd Rozaiman telah mengaku bersalah.
Terdahulu, Mohd Rozaiman yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia menyara isteri, dua anak, bapa dan ibu mentuanya yang perlu menerima rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Syakila Yaakob memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.