• 2025-10-10 03:18 PM

KUALA LUMPUR: Seorang penjual daging mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian abang iparnya di sebuah hutan simpan di Taman Pinggiran Batu Caves, bulan lepas.

Muhamad Zaid Zakaria, 33, didakwa secara gopoh dan cuai menyebabkan kematian Nor Azuar Juyob, 43, di kawasan hutan Taman Pinggiran Batu Caves, Selangor pada 8 malam 28 Sept.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Iqbal Azman menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap bulan hingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Sukhdev Singh yang mewakili Muhamad Zaid memohon jaminan rendah atas alasan lelaki itu menanggung empat anak dan isteri yang tidak bekerja.

“Tertuduh menetap di Perak dan kakaknya hadir sebagai penjamin dan boleh memastikan kehadiran di mahkamah,” katanya.

Majistret Sabreena Bakar@Bahari membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dimohon pendakwaan dan menetapkan 18 Dis untuk sebutan kes.

Sebelum ini, Bernama melaporkan empat individu ditahan kerana disyaki terlibat insiden tertembak seorang lelaki disangkakan haiwan buruan semasa berburu di Batu Caves, sebelum mayat mangsa dibawa ke Semanggol, Perak dan ditinggalkan di tepi jalan - Bernama