• 2025-10-10 04:37 PM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh perintah daripada Mahkamah Tinggi bagi menghalang tiga transaksi wang berjumlah USD115,320,661.63.

Jumlah tersebut bersamaan kira-kira RM486.4 juta dan merupakan hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Wang tersebut disimpan dalam tiga akaun di Switzerland atas penama Putera Turki Abdullah Abdul Aziz Al-Saud.

Transaksi pertama membabitkan USD87,148,732.89 dalam akaun bank di J.P Morgan.

Transaksi kedua pula USD12,777,759.74 juga dalam akaun bank di J.P Morgan.

Transaksi ketiga ialah USD15,394,169 di dalam akaun bank UBS Switzerland.

SPRM memaklumkan perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor pada pendengaran kes semalam.

Permohonan tersebut telah difailkan SPRM pada 7 Oktober tahun ini.

Perintah itu dikeluarkan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut suruhanjaya itu, permohonan berkenaan berdasarkan maklumat diterima SPRM pada 2011.

Maklumat tersebut menunjukkan penama itu telah menerima, memindah dan menggunakan hasil daripada penyelewengan dana 1MDB.

Kegiatan itu dilakukan melalui akaun-akaun perbankan miliknya. – Bernama