KUALA PILAH: Seorang penoreh getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan merogol anak kandung perempuannya di sebuah rumah di Gemencheh, Tampin sejak 2019.

Penoreh getah berumur 52 tahun itu didakwa bersetubuh dengan anak perempuannya yang berumur 24 tahun, iaitu satu perbuatan yang tidak dibenarkan di bawah undang–undang, hukum agama, adat atau kebiasaan, kira-kira pukul 10.30 malam 8 pada Julai lepas.

Bagi pertuduhan kedua pula lelaki itu dituduh melakukan perbuatan sama antara Nov dan Dis 2019 pada waktu pagi di rumah yang sama ketika anaknya berumur 20 tahun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Norma Ismail kemudian menetapkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat iaitu tertuduh tidak boleh menganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai dan sekiranya melanggar perintah itu jaminan ditarik serta-merta.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.