KUALA LUMPUR: Penubuhan National Fund-of-Funds (NFOF) kini di peringkat akhir dan dijangka selesai sepenuhnya pada Oktober 2024, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata NFOF akan beroperasi dengan peruntukan awal atau aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah RM1 bilion seperti diumumkan dalam Sidang Kemuncak KL20 pada April lepas.

“Khazanah Nasional Bhd akan menyumbang majoriti daripada jumlah pendanaan berkenaan manakala sebahagian lagi daripada dana sedia ada dalam Malaysia Venture Capital Management Bhd dan Penjana Kapital,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli mengenai status dan penjelasan mengenai NFOF daripada sudut kemampanan dan manfaat yang bakal diraih oleh pemain industri dalam kalangan bumiputera dan bukan bumiputera.

Menjelaskan selanjutnya, Amir Hamzah berkata NFOF akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pembangunan bakat tempatan yang bakal memacu inovasi dan kemajuan.

Selain itu, NFOF juga dijangka menyumbang kepada peningkatan kadar penembusan modal teroka Malaysia daripada US$332 juta (US$1=RM4.68) pada 2023 kepada US$1.4 bilion menjelang 2030 seperti disarankan dalam Pelan Hala Tuju Modal Teroka Malaysia 2024–2030.

“Pelaburan NFOF yang fokus kepada pengurus dana tempatan akan menarik pelaburan langsung domestik.

“NFOF juga akan menjadi rakan kongsi terhad kepada pengurus dana asing yang berminat untuk memulakan operasi di Malaysia dengan syarat mereka perlu menambah nilai kepada ekosistem tempatan dan memperuntuk sebahagian dana untuk syarikat pemula tempatan,” kata beliau.