KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan beberapa kawasan di Kedah, Kelantan dan Terengganu mempunyai masalah penagihan dadah yang membimbangkan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu diperoleh hasil pemetaan yang dibuat menerusi data yang dikumpul daripada empat sumber iaitu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Agensi Antidadah Kebangsaan, Kementerian Kesihatan, dan pusat pemulihan narkotik swasta.

Beliau berkata menerusi pemetaan itu, didapati daerah Pendang di Kedah menunjukkan nisbah penagih dadah tertinggi iaitu 1,333 orang daripada 100,000 penduduk diikuti Machang, Kelantan dan beberapa daerah di Terengganu seperti Marang, Dungun, Kemaman dan Besut.

“Apabila kita kumpul data, polis analisis data itu guna dua kaedah iaitu kategori 100,000 penduduk dan kategori 10,000 penduduk untuk mengetahui tahap serius (kes penagihan dadah) di satu kawasan.

“Hasil pemetaan ini, keputusannya kita melihat kawasan paling serius penyalahgunaan dadah adalah di Pendang iaitu (lebih) 1,300 orang. Idealnya purata nasional bagi 100,000 penduduk ialah 432 orang terlibat dadah ... jadi, tahun ini kita nak kurangkan angka itu, ini sasaran jelas kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Dialog Khas II Polis Diraja Malaysia 2024 di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata pemetaan itu dibuat keempat-empat pihak susulan laporan dikeluarkan World Drug Report 2023 yang menunjukkan trend penagihan dadah global semakin meningkat.

Beliau berkata antara faktor yang menjadi pendorong penagihan dadah meningkat di beberapa daerah itu ialah demografi penduduk serta taraf pendidikan dan pekerjaan.

Mengenai pendekatan yang akan dilaksanakan hasil daripada data diperoleh, pihaknya akan memperhebat program dan aktiviti di kawasan yang mempunyai jumlah penagih yang ramai.

“Dalam tempoh enam bulan ini, Ketua Setiausaha KDN Datuk Ruji Ubi akan merancang beberapa pendekatan dan menggerakkan agensi terlibat. Kemudian, dalam tempoh enam bulan selepas itu kita akan menilai sama ada program dilaksanakan berjaya atau perlu ditambah baik,” katanya.

Mengulas dialog hari ini, Saifuddin Nasution berkata program itu yang mengumpulkan ramai pihak berkaitan pembanterasan dadah termasuk pakar-pakar dari luar negara bertujuan membincangkan mengenai pendekatan baharu dan berbeza dalam menangani jenayah narkotik yang semakin kompleks.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya mengambil perhatian serius mengenai laporan Agensi Anti Rasuah Bangladesh yang sedang menyiasat empat bekas ahli Parlimen kerajaan negara itu yang didakwa mendalangi sindiket penipuan pekerjaan di negara ini dengan nilai anggaran 24,000 crore taka Bangladesh (RM8.9 bilion).

“Saya baru baca berita itu semalam dan akan minta pihak berkuasa berkenaan untuk memberi laporan lengkap berhubung perkara itu.

“Kita juga akan minta Wisma Putra untuk memberikan maklumat terkini dan Kementerian Sumber Manusia kerana pemberian kuota (pengambilan pekerja) dikeluarkan oleh kementerian itu,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata pihaknya menerusi Jabatan Imigresen juga sedang melaksanakan siasatan berhubung perkara itu kerana pengurusan pengeluaran visa di bawah seliaan kementeriannya.

Semalam, Dhaka Tribune melaporkan sindiket itu melibatkan bekas Menteri Kewangan Mustafa Kamal, bekas Ahli Parlimen Nizam Uddin Hazari, Benazir Ahmed dan Jeneral Bersara Masud Uddin Chowdhurry.

Laporan itu mendedahkan, sindiket itu telah menghantar 450,000 pekerja ke luar negara termasuk Malaysia dalam tempoh satu tahun, namun ramai pekerja terbabit tidak dapat mencari peluang kerja dan pulang dengan tangan kosong.