• 2025-10-06 11:08 AM

KUALA LUMPUR: Rekod perakaunan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini.

Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun tersebut bertambah baik dengan penurunan defisit dan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Beliau berkata penyata kewangan itu menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.

“Ketua Audit Negara telah memberikan Pendapat Tanpa Teguran dengan Perenggan Hal-hal Lain,“ katanya dalam kenyataan sempena pembentangan Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 di Dewan Rakyat.

Defisit menunjukkan penurunan RM12.224 bilion kepada RM79.166 bilion berbanding RM91.390 bilion pada tahun sebelumnya.

Nisbah defisit kepada KDNK turut berkurang kepada 4.1% berbanding 5% pada 2023 dan lebih baik daripada sasaran 4.3% dalam Belanjawan 2024.

“Pencapaian ini meletakkan asas kukuh untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana di bawah tiga peratus,“ katanya.

Antara isu terkait dalam laporan ialah Projek Pangkalan Operasi Hadapan Di Pulau Mabul, Semporna, Sabah yang dirancang sejak 2016 masih belum disiapkan.

Projek itu diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-11 dengan tarikh siap asal ditetapkan pada 16 November 2024.

Isu utama yang dikenal pasti termasuk kelewatan pembinaan Bangunan Penempatan Semula dan bangunan utama masih belum siap.

Pembinaan jeti juga belum dimulakan sehingga Julai lepas.

Jabatan Audit Negara memperluaskan pengauditan terhadap 1,856 badan lain termasuk syarikat melalui Sistem e-SelfAudit.

Sistem itu menggunakan teknologi pendigitalan terkini bagi membolehkan kesemua syarikat berkenaan diaudit setiap tahun mulai tahun ini.

“Tiga elemen utama yang diaudit ialah pencapaian mandat dan objektif penubuhan, pematuhan aspek tatakelola serta prestasi kewangan,“ katanya.

Sebanyak 13 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri siap diaudit dan dikeluarkan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran.

Empat negeri menerima sijil tersebut iaitu Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Terengganu.

Sembilan negeri lain menerima Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran dengan Perenggan Hal-hal Lain.

Negeri-negeri tersebut ialah Johor, Perak, Kedah, Kelantan, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Perlis dan Selangor.

LKAN 3/2025 dibentangkan di Dewan Rakyat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Laporan itu mengandungi 14 naskhah termasuk satu naskhah di peringkat Persekutuan mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2024.

Sebanyak 13 naskhah lagi adalah LKAN peringkat negeri mengenai Penyata Kewangan Kerajaan dan Agensi Negeri.

LKAN 3/2025 peringkat Persekutuan akan dimuat naik di laman sesawang Jabatan Audit Negara selepas pembentangan.

Orang awam boleh melayari laporan tersebut mulai jam 10 pagi di pautan http://lkan.audit.gov.my dan https://agdashboard.audit.gov.my/.

Sebarang pertanyaan lanjut atau pandangan mengenai laporan itu boleh dikemukakan melalui e-mel kepada jbaudit@audit.gov.my. – Bernama