IPOH: Kerajaan Perak akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri bagi mencari jalan penyelesaian terhadap konflik gajah dan manusia di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli sejak kebelakangan ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya mengambil serius mengenai pelbagai kejadian berkaitan gajah yang berlaku di sekitar laluan berkenaan.

“Kita akan berbincang dan perlu belajar tingkah laku gajah ini sebab kebelakangan ini kelihatan gajah-gajah ini menyeberangi laluan itu secara berkumpulan... apa yang menyebabkan kawanan gajah ini kerap menyeberang laluan itu,“ katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Wilayah Ekonomi Koridor Utama (NCER) Negeri Perak di sini hari ini.

Selasa lepas, seorang lelaki berdepan detik cemas apabila keretanya diserang sekumpulan gajah ketika memandu di KM11, JRTB Gerik-Jeli, dalam kejadian pada 8.15 malam.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata akibat kejadian itu kereta mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan belakang serta di sisi kanan dan kiri, namun pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.