SHAH ALAM: Lima individu termasuk seorang wanita bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen dan pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit antara 2021 hingga 2024.
Kesemua tertuduh iaitu Datuk Suhaila Semaru, 41; adiknya Suraya, 37; Muhammad Wahbah Az-Zuhaili Mohd Ariffin, 33; Muhammad Syaabil Ajwad, 26; dan Mohamad Noor Syauqi Shafiee, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.
Suhaila, sebagai pengarah syarikat XFOX Market Sdn Bhd, berdepan 22 pertuduhan melibatkan wang haram bernilai RM13 juta. Suraya, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, didakwa dengan 10 pertuduhan melibatkan RM11.1 juta.
Mohamad Noor Syauqi didakwa memiliki wang haram RM2.5 juta, manakala Muhammad Wahbah Az-Zuhaili berdepan tujuh pertuduhan melibatkan RM10.3 juta. Muhammad Syaabil Ajwad pula didakwa tujuh pertuduhan menerima dan satu pertuduhan melupus wang haram bernilai RM58 juta.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di pelbagai cawangan bank di Shah Alam, Petaling Jaya, dan Subang Jaya antara November 2021 hingga Julai tahun lepas. Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.
Selain itu, Suhaila, Suraya, dan Mohamad Noor Syauqi turut didakwa di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 kerana menerima deposit awam tanpa lesen di Pejabat XFOX, Subang Bestari.
Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan ikat jamin RM1 juta bagi setiap tertuduh, tetapi mahkamah membenarkan RM100,000 dengan syarat menyerahkan pasport. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 Ogos.