• 2025-06-20 03:55 PM

SUNGAI SIPUT: Kerajaan Perak menyediakan tanah pertanian yang boleh dimohon oleh mana-mana usahawan tani di setiap daerah bagi meluaskan kawasan tanaman sekali gus memperkukuh agenda keterjaminan makanan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata usahawan tani yang berminat boleh mengemukakan permohonan kepada pejabat daerah dan tanah (PDT) berhampiran.

“Kerajaan negeri melalui PDT di setiap daerah sedia membantu usahawan tani yang berminat dari segi penambahan ataupun pemilikan tanah melalui Lesen Menduduki Sementara (LMS) bagi menjalankan aktiviti pertanian.

“Hal ini membuktikan komitmen kerajaan negeri menggalakkan usahawan tani untuk memperluas tanaman mereka, sekali gus menyumbang bukan hanya kepada rakyat negeri tetapi juga luar Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Dialog dan Penyerahan Peralatan Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran 2025 di Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) Kampung Tersusun Kledang Utama di sini hari ini.

Pada 11 Julai 2024, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan kerajaan negeri secara prinsipnya telah menyediakan sumber tanah untuk dibangunkan bagi tujuan pertanian iaitu kawasan yang telah diwartakan sebagai Kawasan Zon Keterjaminan Makanan dan mana-mana tanah kerajaan sesuai dalam Perak.

Berkenaan program hari ini, Zolkafly berkata pihaknya berharap peralatan pertanian disumbangkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kepada petani yang terlibat dalam program Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) akan membantu mereka mengoptimumkan hasil pengeluaran, sekali gus meningkatkan penjanaan pendapatan.

“Pemberian bantuan peralatan seperti mesin penimbang digital dan analog, mesin daftar tunai, palet plastik, troli tangan dan sebagainya ini diharap mampu membantu memudahkan kerja para petani yang dianggarkan berjumlah 20 orang terlibat dalam RPKP ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA Shahrizan Sudiman berkata setakat ini terdapat 62 usahawan tani serta 650 petani terlibat secara langsung dalam program RPKP di seluruh negara.