KUCHING: Negara anggota ASEAN perlu memanfaatkan pelbagai peluang kerjasama dan sokongan daripada rakan serantau serta antarabangsa dalam usaha peralihan kepada tenaga boleh baharu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Mareena Mahpudz berkata pelbagai usaha untuk membangunkan sektor tenaga kini boleh diteroka termasuk yang diselaraskan oleh Sekretariat ASEAN dan Pusat Tenaga ASEAN yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia.
“ASEAN mempunyai banyak peluang dan jemputan kerjasama daripada rakan antarabangsa.
“Kerjasama ini bukan melibatkan dana semata-mata malah juga dari segi kepakaran teknikal dan pembangunan bakat modal insan,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual eksklusif sempena Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN mengenai Tenaga ke-43 di sini.
Beliau berkata contohnya Rusia, yang mempunyai kepakaran teknologi nuklear, menawarkan pelbagai program kerjasama kepada negara ASEAN.
“Kalangan negara maju ini turut menawarkan kerjasama lain seperti pembangunan modal insan, dengan menjana penginapan, yuran penyertaan juga percuma dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata dari sudut pembiayaan projek pula, Bank Pembangunan Asia (ADB) ialah antara institusi kewangan yang sedia membantu negara anggota ASEAN dari segi kewangan.
“Negara Laos misalnya sedang melaksanakan beberapa projek dan mereka mempunyai perjanjian dengan ADB. Begitu juga dengan negara besar lain seperti China yang menyediakan bantuan pembiayaan ini.
“Jadi, dari aspek peluang saya berpandangan ia tidak menjadi satu masalah buat kita, pelbagai peluang yang ada untuk menyokong peralihan kepada tenaga boleh baharu ini,” katanya.
Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN mengenai Tenaga ke-43 dan mesyuarat berkaitan di sini yang diadakan 16 sehingga 18 Jun, melibatkan kira-kira 250 perwakilan termasuk pegawai kanan tenaga dan wakil daripada Sekretariat ASEAN dan Pusat Tenaga ASEAN.
Perbincangan itu dihadiri oleh kesemua 10 negara anggota ASEAN -- Malaysia, Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam -- serta Timor-Leste hadir sebagai pemerhati.
Rakan dialog seperti China, Jepun, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat turut hadir, selain wakil daripada Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (IRENA), Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Institut Penyelidikan Ekonomi ASEAN dan Asia Timur (ERIA), ADB dan Bank Dunia.