KUALA LUMPUR: Peranan Malaysia sebagai fasilitator dalam rundingan sempadan Thailand–Kemboja baru-baru ini menjadi bukti kepercayaan dan kekuatan yang mendasari perkongsian dwihala antara Kuala Lumpur dan Bangkok, kata Duta Besar Thailand ke Malaysia Lada Phumas.
“Perjanjian gencatan senjata, diikuti mesyuarat luar biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Thailand–Kemboja di Kuala Lumpur pada 7 Ogos, mencerminkan bukan sahaja diplomasi membina Malaysia tetapi juga keyakinan Thailand terhadap ‘rakan seperti Malaysia’,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan khas pada Dialog Strategik Thailand-Malaysia yang diadakan pada Jumaat dan dianjurkan bersama Kedutaan Besar Diraja Thailand di Kuala Lumpur serta Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.
Mengenai Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, Lada berkata ia adalah peluang tepat untuk memacu keutamaan serantau dan mengukuhkan kesentralan ASEAN.
“ASEAN kekal sebagai platform dan perisai bersama kita. Dengan Malaysia memimpin pada 2025, kita berpeluang mempromosi kesatuan dalam kepelbagaian dengan rakyat sebagai terasnya,” katanya.
Memandangkan Kepengerusian ASEAN oleh Thailand pada 2028 akan menyusul selepas ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada 2027, Lada berkata ini menawarkan peluang strategik untuk kedua-dua negara menyelaras dengan lebih erat.
“Bersama-sama, kita dapat memastikan kesinambungan agenda ASEAN, memacu projek keterhubungan, dan memperdalam integrasi serantau. Kita juga mesti menyuarakan pendirian yang kukuh di pentas global demi membentuk masa depan yang makmur,” tambahnya.
Mengenai Dialog Strategik Thailand-Malaysia, Lada berkata perbincangan dijangka membantu merangka pembangunan Visi Strategik Thailand-Malaysia 2027.
Beliau menggariskan tiga bidang tumpuan utama iaitu mengukuhkan kepercayaan politik melalui dialog berterusan, memperdalam daya tahan ekonomi melalui perdagangan, pelaburan dan inovasi, serta meningkatkan infrastruktur dan mobiliti rakyat-ke-rakyat.
“Dengan melengkapkan infrastruktur fizikal dan logistik serta meningkatkan keterhubungan digital dan sempadan, kita dapat melindungi masa depan ekonomi dan memperkasa komuniti sempadan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi ISIS Malaysia Dr Mohd Faiz Abdullah berkata membina kepercayaan antara Thailand dan Kemboja akan menjadi langkah sukar tetapi penting susulan ketegangan di sempadan.
Beliau berkata walaupun gencatan senjata telah dilaksanakan dan usaha membangunkan mekanisme pemantauan yang lebih menyeluruh sedang berjalan, hala tuju seterusnya tetap terdedah kepada risiko, terutama jika kehendak politik berkurangan.
Menurutnya, peranan Malaysia dalam meredakan ketegangan bulan lalu, yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan sokongan pemimpin lain, bukanlah langkah rutin, sebaliknya digerakkan oleh komitmen sebagai Pengerusi ASEAN dan sebagai jiran serta sahabat rapat kepada kedua-dua Thailand dan Kemboja.
“Mungkin ada alasan untuk kita tidak mengambil langkah seterusnya bersama, tetapi sentiasa ada alasan yang lebih besar untuk kita bergerak maju bersama, berganding bahu,” katanya- BERNAMA