SHAH ALAM: Perjanjian Kolektif (CA) adalah instrumen lebih komprehensif dan fleksibel dalam rundingan mengenai faedah dan gaji yang adil mengikut konteks industri.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kadar gaji minimum tidak boleh dijadikan satu-satunya penanda aras dalam memastikan kebajikan pekerja terpelihara.

“CA juga mempunyai kekuatan undang-undang di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177), iaitu majikan yang ingkar boleh dikenakan tindakan.

“Ia juga memberikan perlindungan undang-undang kepada pekerja dan majikan yang menjadi asas kepada hubungan industri yang harmoni dan produktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Sim mengadakan lawatan kerja ke Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) di sini hari ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan strategik antara kerajaan dan akar umbi pekerja industri.

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan sama memaklumkan sempena lawatan itu, perbincangan turut diadakan mengenai pelbagai isu berkaitan industri automotif dan cabaran semasa industri, startegi menarik ahli baharu kesatuan, pendigitalan pengurusan serta pengukuhan latihan kepimpinan kesatuan.

“Menteri turut menyentuh beberapa inisiatif utama kerajaan termasuk pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) dan pelancaran Kad Pekerja MADANI yang telah mendaftarkan lebih 58,000 ahli kesatuan hingga kini.

“Kad ini membuka akses kepada pelbagai manfaat termasuk diskaun barangan keperluan, perkhidmatan kesihatan dan peluang latihan kemahiran,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sebagai tanda sokongan kepada pemodenan pengurusan kesatuan, kementerian telah menyalurkan geran berjumlah RM25,000 kepada PONSB tahun ini di bawah Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) melibatkan pelaksanaan latihan dan pembelian peralatan ICT.

Sementara itu, Presiden PONSB Mohd Azmi Abu Bakar menzahirkan penghargaan kepada Sim serta Pengerusi Bukan Eksekutif Proton Tan Sri Syed Faisal Albar Syed Rethza Albar dan barisan pengurusan Proton atas kehadiran mereka.

Beliau berkata dalam sesi perbincangan, Sim turut menekankan peranan penting kesatuan sekerja sebagai suara kolektif dalam memperjuangkan hak dan kebajikan selain turut menggalakkan penyertaan dalam kesatuan sebagai platform memperkukuh solidariti serta memperluas ruang rundingan dengan majikan.

Mohd Azmi berkata kementerian turut menyatakan sokongan terhadap usaha PONSB dan pengurusan Proton dalam menjayakan rundingan CA ke-13 bagi tempoh 2025–2027, yang dijangka bermula Jun ini.

“PONSB akan mengemukakan cadangan awal antaranya penyelarasan gaji sebanyak 15 peratus demi memastikan faedah lebih baik kepada 4,938 ahli kesatuan,” katanya.