KUALA LUMPUR: Permainan tradisional yang merupakan khazanah negara perlu dijadikan sebahagian daripada kokurikulum di sekolah, bagi memberikan pendedahan dan mempopularkan kembali permainan itu kepada generasi baharu.

Seorang guru Mohd Nasir Ismail berkata kebanyakan generasi kini terutama yang lahir tahun 2000-an, sudah tidak lagi mengenali dan mengetahui permainan tradisional, kerana mereka tidak didedahkan dengan aktiviti itu sejak dari kecil lagi.

Beliau berkata berbeza dengan zaman sekitar 1900-an, kanak-kanak ketika itu masa lapang diisi dengan permainan tradisional seperti congkak, baling selipar dan gasing, yang cukup berbeza dengan keghairahan kanak-kanak sekarang dengan permainan dalam talian.

“Generasi sekarang dibesarkan dan sudah terbiasa dengan perkembangan teknologi, bahkan di usia yang kecil lagi, mereka lebih tertarik dengan bermain gajet berbanding permainan tradisional.

“Jadi, dalam usaha mengekalkan kesinambungan warisan (permainan tradisional) negara ini, wajar pihak yang bertanggungjawab memastikan ia dimasukkan sebagai salah satu kokurikulum di sekolah,” katanya kepada Bernama pada Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur (FPM@Kuala Lumpur) di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

FPM@Kuala Lumpur yang memasuki penganjuran kali kelapan pada tahun ini, diadakan dari semalam sehingga esok dengan penglibatan 1,520 peserta permainan tradisional, antaranya congkak, galah panjang, dam aji, kabaddi, termasuk tarian magunatip (tarian buluh) Sabah dan aktiviti menyumpit Sarawak.

Ia dianjurkan bersama oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Sukan Tradisional Malaysia.

Senada dengan Mohd Nasir, pengusaha permainan tradisional Norhayati Nordin berpendapat aspek pemuliharaan permainan tradisional yang digagaskan oleh kerajaan, harus dimulakan di peringkat akar umbi secara praktikal dan bukan pembelajaran melalui buku teks semata-mata.

“Kanak-kanak perlu didedahkan dengan permainan tradisional secara sendiri supaya mereka lebih menikmati pengalaman keseronakan memainkannya...dan kita sebagai pengusaha bersedia untuk mengadakan bengkel dan klinik kaedah permainan tradisional yang betul,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata sejak penganjuran festival itu pada 2015, ia telah merekodkan pulangan pendapatan melebihi RM1.5 juta dengan lebih 200,000 pengunjung.

Beliau berkata sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 28 jenis permainan tradisional masyarakat Malaysia telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan, di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) melalui Majlis Perisytiharan Warisan Kebangsaan.

“Jabatan Warisan Negara (JWN) dan JKKN perlu lebih strategik dan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) permainan tradisional, bagi mencungkil dan mengintegrasikan serta mendigitalkan semua permainan tradisional, khasnya permainan tradisional yang hampir pupus.

“Selain itu, dalam membangunkan kompleks JKKN dan JWN yang baharu, satu Galeri Khas atau ‘Perkampungan Seni, Budaya dan Warisan Malaysia’, akan dibangunkan bagi mengintegrasikan dan mempamerkan semua objek Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (WKTK), termasuk permainan tradisional negara kita di bawah satu bumbung,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Mohd Yusri Mohd Yusof.-Bernama