KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 19 September depan untuk mendengar permohonan perintah larangan bersuara oleh Jabatan Peguam Negara bagi menghalang perbincangan awam mengenai dokumen tambahan dalam kes semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak.
Permohonan itu berkaitan dakwaan kewujudan dokumen yang boleh membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan rumah.
Hakim Alice Loke Yee Ching turut menetapkan tarikh sama untuk mendengar permohonan Najib meminda semakan kehakiman bagi memasukkan bukti tambahan.
“Pihak-pihak terlibat perlu memfailkan hujahan bagi permohonan pindaan pada atau sebelum 5 September ini,“ kata hakim itu semasa prosiding pengurusan kes.
AGC memfailkan permohonan perintah larangan bersuara pada 20 Januari lepas dengan alasan kes tersebut melibatkan isu sensitif.
Pada 13 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran merit selepas menolak rayuan Peguam Negara.
Mahkamah Persekutuan turut membenarkan bukti tambahan berkaitan afidavit anak Najib iaitu Datuk Mohamad Nizar dimasukkan sebagai sokongan kewujudan dokumen berkenaan.
Najib memfailkan permohonan perintah mandamus bagi mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Januari tahun lepas.
Beliau menamakan tujuh responden termasuk Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Penjara dan Kerajaan Malaysia.
Bekas ahli parlimen Pekan itu turut memohon perintah pemindahan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur sekiranya dokumen tersebut wujud.
Najib kini menjalani hukuman penjara sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana 42 juta ringgit milik SRC International Sdn Bhd.
Hukuman asal 12 tahun penjara dan denda 210 juta ringgit dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda 50 juta ringgit selepas pengampunan diraja. – Bernama