Your Title

SEREMBAN: Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud bertitah Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Negeri Sembilan (PPMCNS) perlu terus menyumbang bakti melaksanakan aktiviti kemasyarakatan secara berterusan.

Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri negeri itu bertitah sempena sambutan ulang tahun ke-100 PPMCNS, baginda berharap semua ahli terus kekal bersemangat dan cemerlang dalam setiap bidang dan aktiviti dilakukan.

“Beta sentiasa mendoakan agar semua ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan negeri ini diberikan kejayaan dalam apa jua usaha yang dilakukan,“ titah baginda pada majlis minum petang sempena sambutan 100 tahun PPMCNS di Dewan Pekerti Seremban, di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yang Dipertua PPMCNS Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin dan isteri Menteri Besar Negeri Sembilan Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.

Baginda bertitah antara pencapaian cemerlang PPMCNS di peringkat antarabangsa ialah anugerah Olave Award bagi projek kitar semula anjuran persatuan itu, yang diterima pada Persidangan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Dunia 2008 di Johannesburg, Afrika Selatan.