KUCHING: Pertandingan pengekodan seperti BugCrusher Junior Coding Hackathon 2025 berjaya menyemai pemikiran kritis dan kreativiti dalam kalangan pelajar, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Datuk Sudarnoto Osman.
Beliau berkata, program ini hasil kerjasama SDEC, Realfun Learning Centre, serta sokongan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dan Program Pembelajaran Inovasi Komuniti TEGAS (TCIL), diharap dapat melahirkan lebih banyak pencipta dan penyelesai masalah pada masa depan.
“Di sini, kita menyaksikan cetusan inovasi apabila minda muda mula menerima logik dan mengatasi kerumitan. Apa yang menjadikan BugCrusher lebih istimewa ialah hubungan erat antara pelajar dan guru yang bekerjasama rapat dalam setiap pusingan dan tugasan,“ katanya semasa penutup pertandingan di Makeramai Makerspace.
Edisi keenam pertandingan ini berlangsung selama empat bulan dari Mac hingga Julai, melibatkan 1,272 peserta termasuk 954 pelajar dan 318 guru. Seramai 528 pelajar dan 176 guru berasal dari Sarawak, manakala selebihnya mewakili negeri lain di Malaysia.
Peserta dibahagikan kepada dua kategori: Junior (10-12 tahun) menggunakan Scratch, dan Senior (13-15 tahun) menggunakan HTML/CSS atau Scratch Lanjutan.