MIRI: Projek Mengatasi Banjir Pantai Negeri Sarawak yang diluluskan dengan peruntukan RM316 juta dijangka dapat melindungi kira-kira 45,000 penduduk di pesisir pantai daripada kejadian banjir dan hakisan pantai.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek itu turut memanfaatkan 6,000 hektar kawasan agrikultur dan 300 hektar kawasan industri.

“Penetapan pakej projek mengikut lokasi akan ditentukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak sebelum proses perolehan dimulakan dan dijangka mula dilaksanakan pada 2025 yang melibatkan pelaksanaan kerja-kerja perlindungan di persisiran pantai sepanjang 40 kilometer (km),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Lawatan Projek Persekutuan dan Majlis Penyerahan Projek-Projek Siap JPS kepada Kerajaan Sarawak di Lutong di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata projek itu melibatkan 17 lokasi iaitu Kampung Siru Melayu dan Rambungan Stoh di Bahagian Kuching, Pantai Kampung Semarang, Rumah Ek-Rumah Betty, Pantai Kampung Beting Maro dan Pantai Maludam di Bahagian Betong serta Jalan Mukah-Oya (Kampung Judan), Kampung Baru Rajang, Kampung Tekajong dan Sebako Sedi di Bahagian Mukah.

Ia turut melibatkan kawasan Pantai Sungai Bangat (Bahagian Limbang), Pantai Lutong, Bungai Bekenu, Peliau Bungai, Kampung Kuala Sibuti dan Pantai Bakam (Bahagian Miri), serta satu lokasi projek di Bahagian Samarahan dan Kampung Seberang Sebuyau, di Daerah Sebuyau.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan kelestarian pelaksanaan projek kerajaan untuk memastikan impak yang maksimum demi kesejahteraan rakyat dan merangsangkan ekonomi Sarawak,” katanya.

Beliau menambah projek tersebut dijangka dapat meningkatkan semula aktiviti sosioekonomi serta menjamin kelangsungan perhubungan penduduk setempat selain mengurangkan kerugian harta benda, kemudahan awam serta kehilangan nyawa akibat banjir.

Fadillah berkata di bawah peruntukan pembangunan hingga Rancangan Boleh Pinda Keempat (RP4) Rancangan Malaysia (RMK12) ke-12, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah meluluskan 46 projek berkaitan sumber air melibatkan JPS, bekalan air menerusi Bahagian Bekalan Air (BBA) dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) untuk dilaksanakan di Sarawak dengan kos keseluruhan RM6 bilion.

Beliau berkata jumlah peruntukan yang diluluskan bagi tempoh pelaksanaan di bawah RP4 RMK12 pada 2024 bagi Sarawak sahaja adalah RM299 juta.

“Pecahan mengikut jabatan adalah JPS sebanyak 21 projek dengan peruntukan RM78 juta secara geran langsung, BBA (13 projek) dengan peruntukan RM140.8 juta secara pinjaman dan JPP (12 projek) dengan peruntukan RM80 juta secara pinjaman,” kata beliau.

Fadillah bersama Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin turut meluangkan masa membuat pemantauan ke atas Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Miri

Projek RTB bernilai RM25.6 juta dan melibatkan kawasan seluas 1,100 hektar itu, mula dilaksanakan sejak Oktober lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2025, dengan anggaran 12,000 penduduk di kawasan sekitar akan terhindar daripada risiko bencana banjir.

Pada majlis itu beliau turut menyaksikan penyerahan lima projek siap yang dilaksanakan oleh PETRA melalui JPS yang bernilai RM52 juta kepada kerajaan Sarawak.

Projek terlibat ialah tiga RTB dan dua Projek Hakisan Pantai iaitu RTB Kawasan Penempatan Semula Kampung Bako, Kuching; RTB Kampung Sebemban Lembangan Batang Sadong; RTB Bintulu, Lembangan Sungai Kemena; Projek Pengawalan Hakisan Pantai Di Kampung Kuala Hilir Oya, Bahagian Mukah dan Projek Pemuliharaan Muara-Muara Sungai Bagi Negeri Sarawak- Kerja-Kerja Pemuliharaan Muara Sungai Sematan, Kuching.

Dengan siapnya tiga RTB itu kira-kira 3,500 penduduk di kawasan terlibat akan mendapat perlindungan daripada risiko banjir, manakala pelaksanaan dua projek hakisan pantai tersebut akan memberi manfaat kepada hampir 11,000 penduduk dan nelayan daripada risiko banjir dan hakisan pantai.