KUALA LUMPUR: Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri mula berhimpun bagi Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang bermula hari ini hingga 27 Julai depan.
Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook menyeru ahli parti menjadikan persidangan kali ini sebagai medan memperkukuhkan wasilah politik selain memperbaharui janji dan memperteguh tekad.
“Jadikanlah persidangan kali ini sebagai medan untuk kita perkukuhkan tiga wasilah politik yang saya gariskan sebelum ini iaitu Politik Solusi, Politik Legasi dan Politik Moderasi. Inilah landasan perjuangan yang perlu diterjemahkan dalam setiap tindakan, keputusan dan gerak kerja kita di semua peringkat parti,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut mengucapkan selamat bersidang kepada warga UMNO dan mengingatkan ahli parti itu perlu terus mengangkat suara rakyat, menjiwai resah dan impian anak muda serta berdiri gagah sebagai parti yang tidak gentar melangkah ke hadapan walau zaman berubah.
“Kekuatan kita bukan hanya pada warisan sejarah tetapi pada kesatuan hati dan kejelasan hala tuju yang kita pertahankan bersama.
“Saya percaya selagi ada keikhlasan dalam kebersamaan, dan selagi perjuangan ini digalas dengan jiwa yang bersih, UMNO akan terus mekar sebagai wadah harapan rakyat dan tiang seri kepada kestabilan serta kemajuan negara,” katanya.
Terdahulu Persidangan UMNO Cawangan diadakan pada 7 April hingga 25 Mei manakala Perhimpunan Agung UMNO dijadual berlangsung pada 20-23 Ogos.