• 2025-06-25 06:05 PM

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Operasi ProLintas didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana gagal melaporkan pemberian suapan wang tunai RM90,000 berhubung projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), dua tahun lepas.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Rostam Shahrif Tami, 59, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dan memerintahkan hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan wang (disita) daripada tertuduh dilucut hak kepada kerajaan termasuk bon (berjumlah RM114,000), wang tunai RM658,750 dan RM180,000 daripada akaun Tabung Haji serta mata wang asing.

Rostam Shahrif didakwa gagal melaporkan pemberian suapan RM90,000 daripada Syarikat Satunas Technologies Sdn Bhd melalui Mohd Rosman Alias sebagai upah bagi dirinya yang merupakan Wakil Pegawai Penguasa untuk memberikan kerja bertajuk To Construct End Cap Stressing And Shear Block kepada syarikat itu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Bandar Kinrara, Puchong di sini pada 20 Feb 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) akta sama yang membawa hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, dua lagi pertuduhan sama yang dihadapi Rostam Shahrif sebelum ini diambil pertimbangan (TIC) oleh mahkamah di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon hukuman denda maksimum dikenakan terhadap Rostam Shahrif mengambil kira kesalahan serius serta nilai rasuah yang terlibat dalam kes itu selain perintah lucut hak berikutan harta berkenaan berkaitan dengan kesalahan dilakukan tertuduh.

Peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mewakili Rostam Shahrif memohon hukuman denda atas alasan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan iaitu penyakit darah tinggi selain tiada rekod kesalahan lampau.

“Anak guam saya telah bekerja di ProLintas sejak 1998. Selepas ditahan dan direman untuk siasatan kes ini pihak syarikat telah menggantung tugasnya hingga hari ini. Sepanjang bertugas, dia tidak pernah melakukan kesalahan, tertuduh amat menyesal atas kesilapan tersebut.

“Atas dasar penyesalan, tertuduh juga bersetuju melucut hak harta dan wang tunai yang disita daripadanya termasuk wang RM180,000 daripada akaun Tabung Haji dilucut hak kepada kerajaan, ia untuk meringankan hukuman terhadap tertuduh,” katanya.

Mengikut fakta kes, hasil penerimaan wang rasuah, Rostam Shahrif menggunakan dan melupuskan wang tersebut bagi tujuan kegunaan peribadi termasuk pembelian tujuh jam tangan mewah milik tertuduh serta dua buah kenderaan yang didaftarkan atas nama dua anak tertuduh.

Harta alih berkenaan telah disita daripada tertuduh oleh SPRM dan dia juga telah membayar bon berjumlah RM114,000 untuk harta yang disita itu.

Hasil siasatan pihak SPRM, pemandu tertuduh telah menyembunyikan wang rasuah yang diterima Rostam Shahrif daripada kontraktor terlibat dalam projek SUKE termasuk daripada Syarikat Satunas Technologies.