BENTONG: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan melancarkan pes asam pedas dan rendang betawi yang dihasilkan penghuni penjara inspirasi daripada buku resipi ‘Air Tangan Tengku Ampuan Pahang’.
Tunku Azizah ketika bertitah menzahirkan penghargaan kepada penghuni penjara yang mencuba resipi daripada buku masakan baginda dan bersedia untuk berkongsi pelbagai resipi lain di masa akan datang.
“Terima kasih kerana mencuba resipi daripada buku masakan saya dan menjual produk itu. Saya terima mereka (penghuni penjara) sebagai kawan untuk mengajar, sebelum ini saya dah kongsi enam resipi biskut dan semalam enam lagi selain kek coklat ‘marble’.
“Ada banyak lagi yang boleh dipelajari ketika berada di dalam penjara antaranya belajar menenun,” titah baginda yang merupakan Penaung Diraja Seni dan Kraf Jabatan Penjara.
Baginda bertitah demikian selepas melancarkan pes asam pedas dan rendang betawi di Pusat Vokasional Industri Bentong, Kompleks Penjara Bentong di sini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Penjara Datuk Nordin Muhamad.
Penyedian pes asam pedas dan rendang betawi melibatkan lima staf serta lebih 30 penghuni yang sedang mengikuti Program Pembangunan Insan (PPI) Fasa Tiga dan dipilih berdasarkan kebolehan serta kreativiti masing-masing.
Selain itu, pes makanan ini juga mematuhi standard piawaian daripada Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pes berkenaan setakat ini boleh didapati di Galeri Jualan My Pride dan Koperasi Jabatan Penjara Malaysia pada harga RM7 bagi pek 150 gram.
Pada majlis itu, baginda turut berkenan meluangkan masa melawat bengkel tenun Penjara Bentong. - Bernama