JERTIH: Seorang warga emas ditemukan lemas ketika memukat ikan di kawasan sawah padi di Kampung Amir dekat sini, pagi tadi.
Anak mangsa Tuan Muhammad Hishamuddin, 23, berkata bapanya Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66, seorang pesara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Besut keluar dari rumah pada 7.55 pagi tadi untuk melihat pukat bersama rakannya.
“Selepas sarapan ayah keluar dengan menunggang motosikal ke lokasi kejadian bersama tiga rakannya dengan menaiki perahu.
“Lebih kurang 9.15 pagi saya dapat tahu ayah lemas di tempat dia memukat ikan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Besut, di sini hari ini.
Tuan Muhammad Hishamuddin berkata dia difahamkan kejadian berlaku apabila bapanya turun ke dalam air dari perahu yang dinaiki mereka berempat untuk mengangkat pukat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata sebanyak 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 9.08 pagi.
Menurut beliau, usaha mencari dan menyelamat turut dibantu penduduk kampung menggunakan bot di kawasan sawah yang ditenggalami air sedalam kira-kira tiga meter itu.
“Mayat mangsa ditemukan kira-kira 10.00 pagi sekitar lima meter dari lokasi dia dilaporkan tenggelam dan ditemukan di dasar air yang keruh serta arus agak deras,“ katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Muhammad Azrul Izzham berkata mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.