KUALA TERENGGANU: Seorang pesara polis maut selepas kereta Perodua Kancil yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Beladau Kolam, Manir di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa, Che Shafie Che Noh, 75, meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Asma Harun, 73, cedera di leher.

Azli berkata kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa dari arah Kampung Beladau Kolam ke Kuala Terengganu terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh secara berdepan kereta Perodua Myvi yang datang dari arah Pasar Payang menghala ke Kampung Padang Macang.

“Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian dan isterinya mengalami kecederaan. Pemandu dan dua penumpang kereta Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensi Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut manakala isterinya dirawat di unit kecemasan hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.