KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa dukacita yang mendalam terhadap nahas tragik pesawat Air India Penerbangan 171 dekat Ahmedabad, India.
“Saya berasa amat sedih apabila mengetahui mengenai tragedi ini. Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan insan tersayang semua mangsa yang terlibat,“ kata beliau dalam catatan menerusi Facebook.
Perdana Menteri berkata Malaysia berkongsi kesedihan dengan India dan berdiri teguh ketika usaha bantuan giat dijalankan.
“Doa dan ingatan kami bersama-sama dengan mangsa dan semua yang sedang meratapi kehilangan penuh tragis ini,“ kata Anwar.
Media melaporkan sebuah pesawat Air India dalam penerbangan ke London membawa 242 penumpang termasuk 12 anak kapal, terhempas sebaik sahaja berlepas dari lapangan terbang Ahmedabad di negeri Gujarat, barat India, pada Khamis.
Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia menaiki pesawat itu.