Your Title

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan Piper PA-28-161 dengan pendaftaran 9M-ANA telah melakukan pendaratan cemas di satu kawasan lapang dekat Pelabuhan Klang hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata pesawat itu yang dikendalikan oleh Kelab Penerbangan Subang dinaiki dua individu telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 2.50 petang.

“Menara kawalan Subang menerima panggilan kecemasan pada 2.58 petang,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Susulan itu, beliau berkata Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) telah diaktifkan pada 3.10 petang setelah menerima maklumat bagi tujuan koordinasi operasi mencari dan menyelamat.

“Siasatan akan dijalankan di bawah Bahagian XXIII Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,“ katanya.