KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan 10 ekor lembu bernilai RM150,000 selepas menahan sebuah lori yang mencurigakan di Jalan Utama Banggol Setol, Pasir Mas.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata lori itu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun dan ditahan pada 12.15 tengah malam semasa operasi Op Taring Kandang dijalankan.
“Pemeriksaan mendapati terdapat 10 ekor lembu di bahagian belakang lori tanpa dokumen pemindahan yang sah dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar,“ katanya dalam kenyataan.
Lembu-lembu itu disyaki dibawa masuk dari Thailand untuk pasaran tempatan. Kes ini diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953- Bernama