• 2025-07-26 08:36 AM

KUALA LUMPUR: Harapan Malaysia untuk melangkah ke final acara kuadran lelaki Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai 2025 musnah selepas tewas 0-2 kepada Jepun di Songkhla, malam ini.

Skuad negara yang dibarisi Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Norfaizzul Abd Razak dan Mohammad Azlan Alias tumpas 11-15, 13-15 dalam aksi separuh akhir yang sengit berlangsung di Dewan Hatyai, Pusat Beli-Belah Central Hatyai.

Walaupun tewas dalam perlawanan kuadran, skuad regu berpasukan lelaki Malaysia mengekalkan rekod bersih dengan memenangi dua perlawanan Kumpulan B. Mereka berjaya mengalahkan Laos 3-0 pada perlawanan pagi dan mengulangi kejayaan sama menentang Jepun dalam aksi terakhir kumpulan.

Sebelum ini, Malaysia memulakan saingan kumpulan dengan kemenangan 3-0 ke atas Korea Selatan dan Myanmar - Bernama