Your Title

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai kawalan terhadap dokumen sulit yang akan dinyahklasifikasi sebelum digunakan dalam perbicaraan kes pecah amanah dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Dokumen sulit berkenaan adalah bagi perbicaraan berhubung enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion terhadap Najib dan Mohd Irwan, berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berkata ia melibatkan dokumen mesyuarat Kabinet, Kementerian Kewangan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (kini Agensi Pengangkutan Awam Darat) di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Bagi Kementerian Kewangan dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, dokumen masih dalam proses diturun taraf manakala bagi SPAD, memandangkan suruhanjaya itu telah dibubarkan kami dimaklumkan dokumen kini tiada lagi dalam simpanan mereka.

“Proses turun taraf dokumen berstatus rahsia dan sulit bukanlah di bawah kawalan pihak pendakwaan dan ia tertakluk kepada agensi terlibat yang memiliki dokumen berkenaan, sama ada dokumen boleh diturun taraf atau sebaliknya,” kata Muhammad Saifuddin.

Terdahulu, peguam Datuk Seri K. Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan memohon anak guamnya diberikan perintah lepas tanpa bebas (DNAA), memandangkan kes sudah berjalan selama enam tahun sejak ia pertama kali disebut di mahkamah pada 2018, namun pihak pendakwaan masih gagal menyerahkan dokumen yang dimohon pembelaan.

“Yang Arif telah menetapkan tarikh untuk perbicaraan tetapi kita tidak dapat meneruskannya kerana kebanyakan dokumen penting tidak diberikan kepada kami dan kami tidak dapat untuk melaksanakan perbicaraan yang adil.

“Ini kali ketiga kami mohon untuk dilepas tanpa dibebaskan kerana mahkamah telah berikan masa lebih daripada mencukupi kepada pendakwaan dan melihat kepada keadaan semasa, saya berharap mahkamah untuk memberikan anak guam saya arahan DNAA,” katanya.

Sebagai tambahan kepada penghujahan Kumaraendran, peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga memohon DNAA untuk anak guamnya.

“Jumlah kes yang dihadapi anak guam saya boleh disamakan dengan carpet bombing dan ia telah menarik pembelaan dan Datuk Seri Najib ke satu tahap tertinggi.

“Beliau hadir di mahkamah setiap minggu. Kami sama-sama ‘carpet-bombed’, menyediakan kes dan ada kesukaran yang melampau untuk dikendalikan,” katanya.

Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, bersambung pada 27 Nov.

Pada 24 Okt 2018, Najib, 71, dan Mohd Irwan, 67, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada IPIC.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.