KUALA LUMPUR: Ujian dan perakuan daripada pegawai perubatan kerajaan atau pengamal perubatan berdaftar masih diperlukan dalam proses mendapatkan perintah rawatan serta pemulihan ke atas penagih dadah di bawah pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata di bawah pindaan Seksyen 6 (1) dan Seksyen 6 (a)(1) akta itu, perakuan oleh pegawai perubatan bersama-sama syor daripada pegawai pemulihan perlu dikemukakan kepada majistret bagi tujuan mendapatkan perintah berkenaan.

“Justeru, ingin saya tegaskan tidak timbul isu pegawai pemulihan (Agensi Anti Dadah Kebangsaan - AADK) diberi kuasa besar atau mutlak memandangkan perakuan daripada pegawai perubatan kerajaan atau pengamal perubatan berdaftar masih diperlukan di bawah Seksyen 6 (1) dan Seksyen 6 (a)(1) RUU ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 di Dewan Negara hari ini.

RUU itu yang antaranya bertujuan membezakan tafsiran antara penagih dadah atau bahan dengan penyalah guna dadah atau bahan, selain meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih diluluskan dengan lebih suara bersetuju setelah dibahas 31 senator.

Shamsul Anuar berkata melalui pindaan itu, kerajaan juga menambah baik peruntukan untuk mengawal selia Pusat Pemulihan Persendirian (PDP) supaya pengoperasian pusat tersebut mengikut piawai kualiti dan kelayakan yang ditetapkan.

“Akta sedia ada tidak mempunyai peruntukan mengenai kesalahan tidak mendaftarkan pusat pemulihan ataupun untuk kesalahan melanggar syarat jadi kita berpandangan terdapat keperluan untuk mengawal selia PDP melalui RUU ini.

“Pindaan ini kelak akan dapat memastikan keselamatan, kebajikan penghuni atau klien adalah terpelihara di samping memperkasa peranan komuniti untuk bersama kerajaan memberi perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah serta bahan,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan syor rawatan dan pemulihan yang dikemukakan oleh pegawai pemulihan AADK terhadap seseorang penagih dadah melalui pindaan RUU itu adalah berdasarkan kelayakan akademik, kepakaran dan latihan yang pernah mereka jalani.

“Selain kelayakan akademik, pegawai pemulihan AADK juga mempunyai kompetensi sekurang-kurangnya 1,000 hingga 5,000 jam kredit dan pengalaman (merawat dan memulih klien) di lapangan antara tiga hingga lima tahun,” katanya.

Turut diluluskan hari ini ialah RUU Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 yang antara lain membolehkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) ditubuhkan, bagi mengambil alih fungsi agensi berkaitan di pintu masuk negara seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pengambilalihan itu tidak termasuk fungsi pentafsiran dan kutipan duti atau cukai di pintu masuk kekal seperti di bawah JKDM, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara serta Kementerian Kesihatan.